Powered by Blogger.

Pemergian Wanita Tercinta

Wednesday 24 July 2013

* 26.03.2012. Perginya insan istimewa, Puan Rohaya ibu tercinta ke sisi Allah, kerana kansr usus. Semoga rohnya berbahagia. AlFatihah.


Ibu,
Setiap pagi, akak bangun dengan harapan, moga hari ini, akan terukir secebis warna ceria di wajah ibu, akan terukir segaris senyuman, bebelan sayang dari bibir ibu. Bebelan jika bilik puterimu ini bersepah, jika puterimu ini mandi lambat, makan gelojoh. Dan suara prihatinmu bertanya itu ini, dari pukul berapa akak makan hingga dengan siapa akak berteman.

Namun seperti biasa, yang akak lihat, ialah wajah cengkung ibu, tubuh kurus ibu, terlantar kaku di atas katil di hujung ruang tamu rumah kita. Pedih. Tapi itu hakikat. Sekalipun akak cuba menafikan, namun hakikat itu tetap hakikat. Akak akan selalu senyum segaris setiap pagi mengucap selamat pagi untuk ibu, sambil mencium pipi ibu, biar cuma di balas dengan redup sayu mata ibu. Tidak mengapa ibu sayang, akak selalu fahamkan hati, Tuhan tak pernah mensiakan kesabaran seorang hamba. 



Ibu,
ibu lihat kan wajah ayah yang tak pernah lekang tersenyum. Seolah tiada apa yang berlaku, meski baru semalam khabar dari doktor menjengah telinga kami, 
'jangkaan hayat Puan Rohaya tak sampai sebulan'.

Pedih sebenarnya, ibu. Akak dan ayah telan pahit itu dalam-dalam agar tidak kelihatan, dan dikeluarkan segala manis madu kekuatan yang bersisa dengan senyuman. Namun, kadang kami tidak bijak menyembunyi rasa hati. Kadang akak lihat air mata ayah mengalir laju bila sendiri, lalu akak sapu air mata itu perlahan. Tatkala ayah memeluk kejap erat tubuh akak dengan esak tangisnya, akak tahu ayah sebenarnya perit menahan derita, menunggu detik-detik terakhir insan tersayang dengan paksaan senyuman di hadapan semua manusia.

Pagi itu, akak dan ayah mandikan ibu dengan bahagia, sambil bergurau senda, meski ibu tidak mampu membalas gurau kami, namun melihat segaris senyuman di wajah ibu, telah cukup membuah bahagia. Kemudian, akak pakaikan baju untuk ibu, akak pakaikan bedak, minyak wangi kegemaran ibu, akak sisir rapi rambut ibu. Mata ibu semakin layu, sukar dibuka. Akak tahan air mata. Akak lihat derita dari kolam jernih mata ibu.

Ibu, ingat tak? Akak dan ayah sorong kerusi roda ibu ke balkoni rumah. LKita sama-sama lihat matahari yang kian menampakkan wajah di sebalik kabus sejuk pagi. Ibu perlahan mendongak ke langit, merenung dalam, dan berbisik dengan suara yang sukar dan tersekat-sekat, ''Cantiknya langit, Allah buat''.

Akak lihat wajah ayah. Ayah berbisik, 
"akak, masa mak dah tak lama ni."
Terasa longlai kaki. Akak kucup dahi ibu, sejuk. Ibu, waktu tu, akak benar-benar minta kepada Allah, supaya hentikan seketika sahaja waktu ketika itu, supaya akak boleh berada lebih lama di sisi ibu. 

Kemudian, ibu minta untuk berehat. Kata ibu, ibu mahu tidur. Dan itulah kali terakhir akak dengar suara ibu. Ibu tidak sedarkan diri. Akak dan ayah tak putus asa. Di rumah kita yang kian sunyi itu, akak dan ayah tak jemu titiskan air zam-zam ke mulut ibu, sambil membisik kalimah Allah ke telinga ibu, dengan harapan ibu akan tersedar dan membuka mata.

Sehinggalah akak rasa seperti harapan yang akak junjung selama ini, makin kelam. Azan asar. Akak solat betul-betul sebelah pembaringan ibu. Akak tadah tangan sambil lihat wajah ibu, ketika itu, akak sungguh-sungguh doa, akak minta Allah ambil ibu, akak minta Allah jaga ibu, akak minta Allah pelihara ibu kat sana, akak dah tak sanggup tengok ibu derita. Akak sayang ibu, tapi akak tak punya pilihan. Akak tahu Allah sedang merancang dengan penuh cinta.

Akak telefon anak-anak ibu yang lain,minta pulang segera. Akak panggil jiran tetangga. Ayah mula telefon sanak saudara. Biar bagaimana ramai orang datang, akak tak berganjak dari sebelah ibu. Akak dengan anak-anak ibu yang lain, along, angah, abu zar, si kecil Abdurrahman, tak putus bisikkan kalimah Allah di telinga ibu. Bila seorang tak mampu menahan sebak, seorang lagi akan mengganti. Perlahan ibu buka mata, pandang jauh ke arah kiblat. Perlahan ibu sebut dengan payah, "Allah. . ,Allah. . ,Allah. . ". Berulang kali.

Azan maghrib. Usai solat, akak bacakan yassin di sebelah ibu. Kemudian ayah datang, ayah sapukan air zam-zam ke wajah ibu. Akak bisikkan kalimah syahadah di telinga ibu. Perlahan, ibu ikut bacaan akak, selirik mata ibu merenung dalam mata akak, sebelum mata itu tertutup selamanya. Ketika itu, ayah terus ke luar rumah, melepaskan sebak. Ibu, akak pernah berjanji kan yang akak tak kan menangis. Tapi, hari tu akak gagal. Air mata akak mengalir macam pili air, melihat wajah kaku ibu, melihat tangisan putera bongsu ibu, si kecil Abdurrahman,akak tak mampu tahan sebak. Akak cium lembut dahi ibu. 

Ibu,
akak redho. Pergilah ibu. Akak dah tak mampu melihat ibu menderita di sini. Moga ibu bahagia di sana. Tentang kami, anak-anak ibu, ibu jangan risau, Allah bersama kami. Kan ibu pernah cakap, kalau ibu pergi dulu, ibu tinggalkan Allah untuk jaga kami. Ibu ingat, kan?

Ibu,
terima kasih untuk segala kenangan indah yang pernah kita ukir sama-sama hingga akhir hayat ibu. Terima kasih menjadi pembela yang tangkas setiap kali puterinya ini ditindas. Terima kasih kerana membuat hidup seorang anak ini menjadi sangat bahagia bila terkenangkan kenangan-kenangan kita. Terima kasih menjadi ibu yang setia mendengar curahan hati puteri tunggalnya ini sekian lama. 

Moga berjumpa di sana. Moga Allah izinkan kita berbahagia lagi, mencipta saat-saat indah di syurga, sambil mengenang masa-masa bahagia kita bersama di dunia.


Ibu, akak rindu.
25 Julai 2013. 16 Ramadhan.
7 a.m.,Irbid,Jordan.


1 comment

  1. Moga ibu saudari ditempatkan bersama para syuhada dan solihin. Amin.

    ReplyDelete

 

Saya Untuk Anda :)

Saya sudi mendengar kisah hati kalian yang saya cinta.
Hubungi saya di wanuda69@yahoo.com

Dengan izin Tuhan, saya in shaa ALlah ada. :)

Search

Disklaimer

Ini disklaimer dari hati, bukan untuk glamer. Kerana ini dari hati, moga sampai juga ke hati. Saya tidak bijak mengandam tulisan, jauh lagi menggubah amal. Namun, andaikata ada Tuhan izinkan tersentuh jiwanya, maka segalanya kerana Dia. Kerana ini dari hati, maka saya tak mengharapkan ramai yang terpaku membaca, atau bergerombolan pengikut yang ada, kerana saya tidak molek untuk diikuti. Namun, saya berharap, saya mahu sedikit yang punya hati yang basah tak mati. Kerana ini dari hati, maka doakan saya, ingatkan saya, kerana saya selalu lupa. JAdi Rijal AsSabiqun, biar sama-sama. Syurga itu luas. Cukup buat semua.

Most Reading

Ads 200x200

Ads 200x200
How can success be achieved when the call to success is ignored? Gegarkan dunia dengan seruan Tuhanmu!

Tags

lifetale (4) Tuhan (2) Ada (1) Buta (1) Hati (1) Hero (1) Hidup (1) Iman (1) Kacak (1) Khabbab alArrat (1) Malaysia (1) Mata (1) Mus'ab (1) agama (1) arRahman (1) bahagia (1) dosa (1) harapan (1) ibubapa (1) islam (1) keras (1) kerinduan (1) kerja (1) kerja keras (1) lembik (1) manja (1) merdeka (1) morality (1) pemuda (1) percuma (1) raja' (1) redho (1) syahid (1) syurga (1) taubat (1) tujuan (1)