Powered by Blogger.

Harapan Masih Ada

Saturday 29 June 2013


Andai sihat itu adalah harapan untuk si sakit. Jika kaya itu adalah harapan untuk si miskin. Kalau kuat itu adalah harapan untuk si lemah. Maka, taubat itu adalah harapan untuk si pendosa.

Taubat itu adalah harapan.

"Katakanlah: "Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." 
(QS. Az-Zumar: 53)

Allah memanggil dan menyeru hambanya yang melampaui batas, yang berbuat dosa, lalu di berikan pengharapan. Diberitahu kepada mereka bahawa rahmat Allah masih ada untuk mereka. Dikhabarkan bahawa Tuhan mereka adalah Tuhan Yang Maha Pengampun Dan Penyayang.

Bukankah itu bermakna untuk setiap jiwa itu masih ada harapan, sebelum nyawa sampai ke penghujungnya?

Dari Bukhari, Muslim, Tirmidhi dan Ibn Majah, diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman( hadits Qudsi):
“. . .Apabila hambaKu mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku akan datang kepadanya seperti berlari-lari anak. “

Allah sangat gembira apabila seorang hambaNya yang berdosa, ingin kembali kepadaNya. Malah, Allah memuji-mujinya di hadapan para malaikat. Cintanya Allah kepada hambanya yang bergelar manusia melebihi seluruh isi alam. Allah tahu hambaNya lemah, kadang-kala gagal mengawal nafsu, lalu dikirimnya pengharapan demi pengharapan.

Orang yang bertaubat bukan bermakna orang yang sempurna. Hatta, kesempurnaan itu hanya milik Allah Azza wa Jalla. Orang bertaubat ialah orang yang telah tergelincir ke dalam lembah dosa, lalu dia bertaubat dan menyesali kesalahannya sesungguh hati, dan kemudian tanpa di sedari dia telah tergelincir ke dalam dosa sekali lagi, lalu dia segera menyesal sesungguh hati dan bertaubat lagi, dan begitulah seterusnya.

Berbeza dengan pemaksiat. Orang-orang yang di gelar pemaksiat, ialah orang yang menyedari kesalahannya, tahu dosanya, namun sering menangguh-nanguhkan taubat.
Kejap lagilah. Esok lah. Tunggu tua lah. Enjoy dulu lah. Tak remaja lah. 
Lepas tu dah mati, nak jawab apa depan malaikat?

Namun, perlu juga ditekankan, di samping Maha arRahman dan arRahim Allah dalam mengampunkan hambaNya, Allah juga amat keras siksanya bagi hambaNya yang ingkar. Rasa raja’(berharap) dan khauf(takut) kepada Allah itu perlu seiring. 
Maka, jika bertaubat, bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat, bukan main-main. Hatinya merasa sesal, bibirnya tidak lekang dengan istighfar, jiwanya penuh keazaman membara untuk tidak kembali kepada dosanya selama-lamanya. Dan jika setelah itu dia tergelincir lagi, dia akan segera bertaubat kembali.

Menjadi graduan luar negara, menjadi mahasiswa perubatan, menjadi bakal menantu pilihan jiran tetangga, menjadi pemimpin persatuan, bukan syarat untuk ke syurga Allah. Itu hanya pemangkin.
Jika kita masih gagal menjaga diri, masih berlengah memohon keampunan, terimalah kenyataan bahwa kita perlu berubah.
Berubahlah. Rebutlah pintu taubat, sebelum pintu itu tertutup.

Kita kadang-kadang tertanya-tanya, kenapa dah study berjam-jam, tapi tetap tak ingat, dah hafal alQuran berzaman, tapi cepat lupa, dah bersahabat berkurun, tapi selalu bertelagah.
Muhasabahlah diri. Boleh jadi tandanya hati kita telah kelam dengan dosa. Cahaya kebaikan tidak dapat bersatu dengan gelap kesumat. Beristighfarlah. Moga-moga dosa kita tidak menjadi hijab untuk kita mendapat kebaikan dan petunjuk.

Dosa itu seperti pohon yang berakar. Makin lama di biar, makin kuat akarnya mencengkam ke bumi, makin sukar di cabut.. Begitu juga dengan dosa dalam hati, bila di biar, bila taubat di tangguh, makin kuat cengkamannya ke hati, makin sukar di buang segala maksiat yang berakar umbi dalam diri. Kita telah merasa selesa dengan segala dosa. Sehingga bila tiba saat perhitungan di sana, baru terasa sesalnya. 

Hati pula ibaratnya seperti rumah. Rumah yang cantik dan indah, pasti menarik lebih ramai pencuri untuk masuk. Namun, rumah yang buruk, pencuri pun pandang sebelah mata. 
Begitulah hati manusia, bila di jaga dengan indah, maka syaitan akan lebih gigih bekerja untuk melalaikannya.
Kerana itu, seorang mukmin akan lebih teruji untuk rajin belajar, akan lebih teruji untuk melakukan kebaikan, akan lebih teruji untuk menjadi hebat, kerana syaitan dan iblis yang menghasutnya berpangkat jeneral dan legend, bukan prebet. 

Maka, pohonlah ketetapan hati dari Allah. Bergantunglah kepada Yang Khaliq, bukan makhluk.

Kebergantungan kepada makhluk hanya membawa kita ke penghujung jalan yang buntu, sedangkan kebergantungan kepada Allah akan membawa kita ke jalan terang bercahaya.

Terngiang bicara seorang murabbi,
“Teruslah bergerak, hingga kelelahan itu lelah mengikutimu. 
Teruslah berlari, hingga kebosanan itu bosan mengejarmu. 
Teruslah berjalan, hingga keletihan itu letih bersamamu. 
Teruslah bertahan, hingga kefuturan itu futur menyertaimu. 
Teruslah berjaga, hingga kelesuan itu lesu menemanimu.
 Teruslah bertaubat, hingga kesesatan itu sesat mengikut jejakmu.”

No comments:

Post a Comment

 

Saya Untuk Anda :)

Saya sudi mendengar kisah hati kalian yang saya cinta.
Hubungi saya di wanuda69@yahoo.com

Dengan izin Tuhan, saya in shaa ALlah ada. :)

Search

Disklaimer

Ini disklaimer dari hati, bukan untuk glamer. Kerana ini dari hati, moga sampai juga ke hati. Saya tidak bijak mengandam tulisan, jauh lagi menggubah amal. Namun, andaikata ada Tuhan izinkan tersentuh jiwanya, maka segalanya kerana Dia. Kerana ini dari hati, maka saya tak mengharapkan ramai yang terpaku membaca, atau bergerombolan pengikut yang ada, kerana saya tidak molek untuk diikuti. Namun, saya berharap, saya mahu sedikit yang punya hati yang basah tak mati. Kerana ini dari hati, maka doakan saya, ingatkan saya, kerana saya selalu lupa. JAdi Rijal AsSabiqun, biar sama-sama. Syurga itu luas. Cukup buat semua.

Most Reading

Ads 200x200

Ads 200x200
How can success be achieved when the call to success is ignored? Gegarkan dunia dengan seruan Tuhanmu!

Tags

lifetale (4) Tuhan (2) Ada (1) Buta (1) Hati (1) Hero (1) Hidup (1) Iman (1) Kacak (1) Khabbab alArrat (1) Malaysia (1) Mata (1) Mus'ab (1) agama (1) arRahman (1) bahagia (1) dosa (1) harapan (1) ibubapa (1) islam (1) keras (1) kerinduan (1) kerja (1) kerja keras (1) lembik (1) manja (1) merdeka (1) morality (1) pemuda (1) percuma (1) raja' (1) redho (1) syahid (1) syurga (1) taubat (1) tujuan (1)